KENYATAAN KETUA DMPP BERHUBUNG ISU PERTUKARAN CIKGU MAAROF BIN ABD. MUTALIB

>> Thursday, April 28, 2011

SIKAP UMNO SEJAK DULU, TAK DAPAT TANDUK

TELINGA DIPULAS!



Pada minggu lepas, Cikgu Maarof bin Abdul Mutalib, seorang guru di SMK Tenang Stesen, Segamat, Johor telah mendapat surat arahan tukar ke SMK Tanjung Pengelih, Pengerang, Kota Tinggi, Johor. Surat arahan daripada Pengarah Pelajaran Johor, Haji Markom bin Giran itu bertarikh pada 28 Mac 2011 di terima oleh Guru Besar SMK Tenang Stesen pada 19 April, sedangkan arahan tukar itu berkuatkuasa pada 16 April.


Tidak pula dinyatakan sebab apa arahan perpindahan itu dilakukan, tetapi umum mengetahui bahawa Cikgu Maarof adalah suami calon PAS pada PRK DUN Tenang yang lalu, Normala binti Sudirman atau Cikgu Mala. Tidak juga diketahui bahawa SMK Tanjung Pengelih ada terdapat kekurangan guru. Kita juga tahu bahawa Cikgu Maarof mendapat cuti sakit yang sah daripada sebuah Klinik Kerajaan semasa kempen PRK Tenang yang lalu.

Apakah sebenarnya motif Jabatan Pelajaran Johor bertindak sedemikian? Jika atas dasar tindakan disiplin kerana Cikgu Maarof dikatakan telah berkempen untuk isterinya, kenapa tindakan disiplin yang sama tidak diambil terhadap Haji Markom bin Giran kerana jelas beliau juga menyokong dan berkempen untuk calon UMNO kepada guru-guru seperti yang tertera pada video U-tube di internet. Malah PAS telah menghantar notis bantahan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya.


Tindakan “double standard” ini jelaslah bermotifkan politik balas dendam seperti kata pepatah – tak dapat tanduk telinga dipulas. Tindakan ini sebenarnya ditujukan untuk Cikgu Mala. Tindakan ini juga boleh ditafsirkan sebagai tindakan amaran kepada semua guru-guru supaya tidak terlibat dan menyokong parti-parti pembangkang. UMNO sebenarnya sangat bimbang dengan tawaran imbuhan RM500 yang akan diberi oleh Pakatan Rakyat, seperti yang tertera di dalam Buku Jingga.

DMPP tidak terkejut dengan tindakan tidak bertamadun ini. Tindakan yang kuat dipengaruhi UMNO ini bukan satu kes baru dan terasing. Malah telah menjadi lumrah kepada para penyokong PAS dari kalangan guru-guru sejak dulu lagi. Lebih dahsyat lagi ada beberapa penyokong PAS yang telah ditukarkan ke Sabah dan Sarawak semata-mata di atas inisiatif mereka terlibat dengan PAS.


Sesungguhnya telah menjadi pengetahuan umum bahawa ramai para guru yang terlibat dengan UMNO di peringkat Bahagian dan Negeri. Bahkan terdapat mereka yang memegang jawatan-jawatan penting dalam UMNO duduk dengan selesa. Mereka juga tidak pernah termimpi akan diambil tindakan disiplin. Anehnya UMNO menabik dada bahawa mereka adalah sebuah parti yang sentiasa membela rakyat. Sedangkan tindakan penganiyaan terhadap guru-guru tersebut dicemuh oleh semua yang mempunyai pemikiran yang waras.

DMPP amat kesal dengan tindakan UMNO yang tidak demokratik ini. DMPP juga mendesak agar tindakan ini ditarik balik. Adalah satu tindakan yang mulia untuk berpatah balik jika kita tersilap melakukan sesuatu tindakan. Sebagai warga Malaysia yang merdeka kita mempunyai hak-hak kebebasan untuk menyokong mana-mana parti politik. Hak-hak ini dijamin oleh Perlembagaan. Tindakan penganiyaan ini tidak direstui oleh rakyat dan lambat laun rakyat yang sedar akan menghukum UMNO dengan menolak mereka di dalam PRU akan datang.

Petikan kenyataan:: Ustazah Nuridah Bt. Mohd. Salleh

Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat

(Rabu 27 April 2011)

0 comments:

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP