Himpunan Pendidik Islam 2012
>> Sunday, September 2, 2012
“Guru adalah nadi utama pendidikan negara.
Berbekalkan azam dan semangat inilah maka, bakti disemai bermula dari awal pra
persekolahan sehinggalah ke menara gading demi merealisasikan aspirasi
melahirkan generasi pelapis ummah yang bermaruah, soleh dan solehah. Mereka
lebih sinonim sebagai ‘Arkitek Pembangunan Negara’ atas jasanya membangunkan,
mencorakkan dan mewarnakan halatuju pendidikan negara bagi melahirkan generasi
pelapis masa depan negara. Natijahnya, banyak kejayaan telah diraih oleh mereka
dalam usaha memajukan pencapaian akademik, kokurikulum, kepimpinan, akhlak dan
multi disiplin ilmu murid.”Demikian kata Pn. Normala Sudirman atau lebih
dikenali sebagai Cikgu Mala yang merupakan Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan
Pendidik Kebangsaan(NGO PENDIDIK).
“Justeru itu, selari dengan
pengorbanan mereka itu, inisiatif bagi menghimpun dan meraikan warga pendidik
dalam satu himpunan mega amat wajar diadakan sebagai refleksi ucapan terima
kasih kepada insan yang amat berjasa kepada umat dalam menabur dan mencurahkan
bakti mendidik modal insan di negeri ini”,katanya lagi.
Antara objektif Program Himpunan Pendidik Islam 2012 diadakan adalah
bertujuan untuk mencapai objektif dan matlamat dalam usaha membina rangkaian hubungan
yang rapat antara para pendidik di seluruh Malaysia .Selain itu, program ini
juga bertujuan untuk meraikan guru-guru, tokoh-tokoh pendidik dan pengurus
pendidikan pelbagai institusi dan pelbagai bangsa dari seluruh Selangor dan
seluruh Malaysia yang telah menaburkan bakti, mencurahkan jasa membangunkan
modal insan serta mengangkat martabat pendidikan negara.
“Dengan memilih tema himpunan "Guru Menjana Kebijaksanaan",
adalah diharapkan agar warga pendidik seluruh Malaysia terus beriltizam untuk
terus berbakti dan mencurah tenaga demi memacu halatuju pendidikan negara”,katanya
dengan penuh berkeyakinan dan optimis.
Himpunan Pendidik Islam 2012 ini bakal
diadakan pada hari Sabtu,bersamaan 8
September 2012 bertempat di Dewan
Unisel, Shah Alam ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan
Tinggi dan Modal Insan Negeri Selangor dengan kerjasama Persatuan Gerakan
Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (NGO PENDIDIK Malaysia), dan MAPPIS(Majlis
Permuafakatan Pendidikan Islam Selangor) .Pusat .
Pihak penganjur menyasarkan
penyertaan lebih 1,000 orang warga
pendidik dan pengurus pendidikan dari seluruh negeri Selangor yang akan hadir
untuk memeriahkan majlis. Antara kelompok sasaran adalah 1000 warga pendidik
dari Negeri Selangor dari pelbagai institusi dan 300 orang warga pendidik jemputan dari
negeri-negeri seluruh Malaysia. Program bersejarah ini juga bakal membariskan
tokoh – tokoh dan ikon pendidik di Malaysia termasuk pesara professional
pendidikan seperti Dato’ Adnan Bin Ibrahim ( Mantan Pengarah Pelajaran Negeri
Perak) dan lain lain.
Majlis ini akan diserikan lagi dengan
kehadiran YAB Dato Bentara Setia Tuan
Guru Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat( Mursyidul Am PAS) yang akan
menyampaikan ucaptama seterusnya akan menerima anugerah dan bakal dinobatkan sebagai
‘Tokoh Pendidik Nusantara’. Selain
daripada itu, beberapa anugerah akan disampaikan sebagai menghargai jasa
pendidik yang telah mencurahkan bakti mendidik anak bangsa seperti Anugerah Tokoh Pendidik Muda kategori
lelaki dan wanita sebagai suatu suntikan semangat .Kehadiran Sasterawan Negara A.Samad Said yang bakal
mendeklamasikan puisi juga dijangka
bakal mencuri tumpuan hadirin warga pendidik yang hadir.
Selain daripada kehadiran dari
seluruh Malaysia dan guru-guru di Selangor dari pelbagai institusi (Sekolah
Kebangsaan, Sekolah Menengah, Kolej Komuniti, Kolej Matrikulasi, Institut
Perguruan (IPG),Sekolah Swasta dan Persendirian),ramai tokoh pendidik
(berkhidmat dan bersara) serta tokoh
pendidik jemputan,aktivis pendidikan dari NGO PENDIDIK dan NGO KAWAN juga akan hadir bagi
memeriahkan dan menjayakan majlis yang cukup berprestij ini.
Program akan bermula seawal jam 8.30
pagi dan dijangka tamat jam 12.30 tengahari. “Antara tokoh yang akan
menyampaikan ucaptama adalah saya sendiri selaku Presiden Gerakan Kebangkitan
Pendidik Kebangsaan (NGO PENDIDIK), Al- Fadhil Ustaz Dato’ Abu Bakar Chik
selaku Mustasyar NGO PENDIDIK dan YB Dr. Hajjah Halimah Ali selaku Pengerusi
Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Negeri
Selangor merangkap Exco Kerajaan Negeri Selangor,”katanya lagi.
Adalah diharapkan agar Program
Himpunan Pendidik Islam 2012 ini dapat berjalan dengan lancar dan mencapai
objektif seperti yang diharapkan dengan kerjasama warga pendidik dan para
jemputan yang hadir. Semoga dengan kehadiran warga pendidik dari seluruh pelusuk tanah air ,khususnya dari
negeri Selangor ke majlis ini menyuntik semangat penganjur untuk terus mengangkat
kredibiliti warga pendidik di seluruh Malaysia.
“Selaku Presiden NGO PENDIDIK , saya
menyeru agar semua warga pendidik dan tokoh pendidik seluruh Malaysia agar
dapat hadir untuk memeriahkan dan menjayakan program ini untuk menzahirkan
iltizam yang padu dalam usaha memacu halatuju dan masa depan pendidikan negara”
,kata Cikgu Mala lagi dengan penuh harapan.
0 comments:
Post a Comment