ISU PELAKSANAAN MATAPELAJARAN PENDIDIKAN SEKS DI SEKOLAH

>> Sunday, November 21, 2010

PENGENALAN SUBJEK PENDIDIKAN SEKS DI SEKOLAH PERLU DIKAJI.

Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat tidak bersetuju subjek ‘Pendidikan Seks ‘ dijadikan mata pelajaran di sekolah rendah .Ini adalah kerana konotasi atau istilah ‘Pendidikan Seks’ itu sendiri boleh menimbulkan stigma dan persepsi negative di kalangan masyarakat Malaysia yang kaya dengan tatasusila dan budaya Timur yang cukup bersopan. Lebih – lebih lagi,sebagai individu Muslim ramai guru kebanyakannya berpendapat tidak perlu di namakan subjek ‘Pendidikan Seks’ kerana seolah- olah pelajar di sekolah rendah mahu diajar kaedah hubungan seks yang selamat agar tidak hamil atau melahirkan anak luar nikah.

Selain itu, isi kandungan mata pelajaran itu perlu dikaji dengan teliti serta perlu mendapat pandangan daripada ahli akademik dan tokoh pendidik serta guru yang merupakan ‘pelaksana dasar’ agar masa depan pelajar tidak ‘dikorbankan ‘sekali lagi sebagaimana langkah kerajaan memperkenalkan PPSMI tahun 2003 .
Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat lebih bersetuju subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan(PJK) yang telah sedia ada ‘dimurnikan’ dan beberapa buah sekolah dijadikan ‘sekolah rintis’sebagai permulaan untuk melihat keberkesanan kandungan mata pelajarannya.
Tegasnya,kalau sekadar untuk menjelaskan soal kitaran haid,bahaya pergaulan bebas,hubungan terlarang,asal usul kejadian embrio serta aspek perkembangan biologi jantina lelaki dan wanita,tidak perlu ia dijenamakan sebagai subjek ‘Pendidikan Seks’. Sebaliknya,unsur nilai murni atau kaedah pencegahan maksiat untuk mendidik masyarakat yang bermoral dan beretika boleh dilaksanakan dengan memasukkan kandungan matapelajaran tersebut dalam Subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) yang telah sedia ada di sekolah . Cukuplah mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan(PJK) sebagai wadah atau saluran untuk menyalurkan ilmu yang bermanfaat dalam mendidik pelajar.

Kita tidak mahu melihat sistem pendidikan yana sering berubah dan tidak konsisten yang akhirnya menyebabkan pelajar menjadi mangsa ‘eksperimen’ golongan ‘pembuat dasar’ yang lebih banyak duduk di kerusi empuk di pejabat tanpa meninjau suasana sistem persekolahan pelajar di peringkat ‘grassroot’ atau akar umbi khususnya di pendalaman dan luar Bandar.Kita juga perlu melihat senario dan suasana pelajar di bandar dan di luar bandar di samping mengkaji sejauhmana mereka boleh mengadaptasi cabaran pendidikan semasa.
Persoalannya, mengapakah matapelajaran Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral tidak dijadikan sebagai subjek dalam peperiksaan UPSR untuk menjadi benteng bagi menangani gejala sosial pada masa kini ?Yang menghairankan, matapelajaran yang baru pula hendak dilaksanakan tanpa dibuat kajian teliti terlebih dahulu.
Tuntasnya,Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat mendesak Kementerian Pelajaran Malaysia mengkaji sedalam- dalamya langkah dan cadangan untuk memperkenalkan Subjek Pendidikan Seks di sekolah rendah agar tidak mengundang implikasi negatif terhadap modal insan yang hendak dibina.

Daripada:
Pn. WardatulJannah As Soffea
Penerusi Lajnah Pendidikan
Dewan Muslimat PAS Pusat

0 comments:

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP