Memorandum NGO PENDIDIK kepada Menteri Pelajaran Malaysia.

>> Thursday, September 6, 2012






JAWATANKUASA PERSATUAN GERAKAN KEBANGKITAN PENDIDIK KEBANGSAAN (PENDIDIK)

d/a YAPIS (No. Pendaftaran 937052 U, Lot 10, Tingkat 1A, Plaza Perangsang, Persiaran Perbandaran, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Tel: 03-55123828, Fax: 03-55183828
______________________________________________________________________

MEMORANDUM

Daripada: PERSATUAN GERAKAN KEBANGKITAN PENDIDIK KEBANGSAAN (PENDIDIK)

Kepada: Y.A.B TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN (MENTERI PELAJARAN MALAYSIA)

______________________________________________________________________


"DESAKAN MENGHENTIKAN TINDAKAN TIDAK PROFESIONAL DAN PENGANIAYAAN KEPADA WARGA PENDIDIK"


PENGENALAN

Mutakhir ini terlalu banyak aduan yang diterima oleh Jawatankuasa PENDIDIK berkaitan kes penganiayaan yang melibatkan warga pendidik dari pelbagai sektor perkhidmatan pendidikan. Bentuk tindakan yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran secara tidak profesional ialah antaranya;

  • dibuang kerja kerana tidak tahan menurut arahan perpindahan yang kerap dan tidak munasabah
  • menukarkan guru jauh dari kediaman / keluarga atas tekanan politik
  • dipindahkan ke stesen perkhidmatan berkali-kali dalam tempoh setahun
  • menempatkan pasangan guru berbeza lokasi dan berjauhan antara satu sama lain
  • suami / isteri yang bertanding dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil dipindahkan sebagai balasan "dendam pilihan raya"
  • dipindahkan ke sekolah lain yang jauh hanya kerana meraikan ADUN PAS yang menziarahi keluarga di rumah
  • dituduh memakai baju "BERSIH 2.0"
  • disyaki aktif berpolitik pembangkang
  • dipotong gaji (walaupun kes dalam pertimbangan / rayuan)
  • dinafikan bonus tahunan
  • tidak dibenarkan masuk ke kelas untuk mengajar
  • tidak diberikan jadual waktu mengajar

Dalam masa dua minggu ini sahaja PENDIDIK telah menerima tidak kurang daripada 100 aduan yang dirujuk oleh guru-guru yang terlibat. Kita percaya lebih ramai guru akan akan tampil mengemukakan aduan dan merujukkan kes mereka kepada PENDIDIK untuk mendapatkan pembelaan yang sewajarnya.

KAJIAN KES

Kes Pertama (Cikgu Maarof bin Abdul Mutalib)

Beliau telah ditukarkan dari SMK Tenang Stesen, Segamat, Johor ke SMK Tanjung Pengelih, Pengerang, Kota Tinggi, Johor selepas isterinya Cikgu Normala binti Sudirman (Calon PAS Tenang) bertanding dalam pilihan raya kecil tahun 2011. Beliau telah dipindahkan ke tempat kerja yang baru yang jaraknya lebih daripada 500 kilometer (pergi dan balik). Beliau juga telah dikenakan tindakan hukuman berganda ”double punishment” iaitu amaran, tindakan tata tertib, dipotong gaji 7 hari bekerja, dinafikan bonus tahun 2011 dan dipindahkan sekolah seperti yang dinyatakan di atas.

Kes Kedua (Cikgu Hj Omar bin Bakar )

Cikgu Omar bin Bakar dari Sekolah Kebangsaan Sungai Perah, Parit, Perak telah berkhidmat selama 18 tahun sebagai guru. Beliau dibuang kerja hanya kerana tidak bersetuju dengan tindakan Jabatan Pelajaran Perak menukarkannya ke SK Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak setelah tidak tahan untuk menurut arahan ditukarkan sebelum ini sebanyak 5 kali. Cikgu Hj Omar bin Bakar diarahkan bertukar pada 16 Jun 2006, namun beliau telah ”dibuang kerja” ketika kesnya masih dalam proses rayuan supaya tidak dipindahkan. Beliau bersama-sama 6 orang rakan yang lain telah ditukarkan oleh JPN Perak ke pelbagai daerah yang jauh dari tempat asal semata-mata atas desakan politik pemimpin UMNO.

Kes Ketiga (Ustaz Abdul Latif bin Aminon) dan isteri (Ustazah Hasmah binti Mohamad Jaiz 

Ustaz Abdul Latif bin Aminon dan isterinya Ustazah Hasmah binti Mohamad Jaiz dipindahkan dari SMK Felcra Bukit Kepong, Muar ke SMK Kota Masai, Pasir Gudang dan isterinya dari sekolah yang sama ke SMK Kota Masai 2, Pasir Gudang pada Februari 2011, semata-mata meraikan rakan yang juga merupakan ahli keluarganya ADUN Paroi (PAS) yang datang menziarahi dan minum petang di rumahnya.

SENARIO

1. Wujudnya penyalahgunaan kuasa sewenang-wenangnya di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Pentadbir Sekolah (Pengetua & Guru Besar).

2. Kementerian Pelajaran seolah-olah gagal mengawal pegawai-pegawai tinggi dari segi penurunan kuasa (empowerment), pelaksanaan peraturan dan prosedur dalam melaksanakan tindakan.

3. Tidak ada penyelarasan di peringkat Menteri Pelajaran sendiri, Kementerian, Jabatan Pelajaran, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Pengetua Sekolah atau Guru Besar Sekolah dalam kes-kes melibatkan pertuduhan dan penganiayaan kepada warga pendidik yang terlibat.

4. Kes-kes yang diambil tindakan kepada warga pendidik semakin meningkat dari semasa ke semasa seolah-olah tiada kawalan dalam membuat keputusan atau tindakan kepada guru yang terlibat.

5. Wujudnya ”double-standard” dalam pelaksanaan tindakan terhadap guru-guru yang menyokong parti pembangkang tetapi di satu pihak yang lain, penglibatan guru-guru dalam politik dan memegang jawatan tidak pula dikenakan sebarang tindakan, bahkan dipertahankan.

6. Penggunaan frasa ” Pertukaran Atas Keperluan Perkhidmatan” dijadikan alasan untuk menutup tindakan menzalimi warga guru atau pendidik oleh Kementerian Pelajaran.

7. Keputusan ataupun arahan menukarkan guru sering berubah-ubah seolah-olah dilihat mengikut kehendak dan telunjuk pihak-pihak yang tertentu.

8. Pertuduhan dan tindakan menukarkan dan menempatkan guru adalah tidak munasabah kerana melibatkan jarak yang jauh (melebihi 500 kilometer) iaitu melampaui sempadan daerah, negeri, dan merentasi laut (Sabah & Sarawak).

9. Pertukaran guru sebenarnya bukan atas keperluan perkhidmatan dan peningkatan prestasi (sebagai contoh; kenaikan pangkat dan kebolehan luar biasa guru dalam bidang kepakaran) sebaliknya lebih berupa tekanan dan bertujuan melemahkan semangat guru dalam profesion mereka.

10. Arahan kepada guru-guru yang berjasa dan berharga kepada pihak sekolah akibat pertuduhan dan pertukaran yang tidak masuk akal ini sebenarnya mengundang kekesalan, kebencian dalam kalangan warga kerja, keluarga guru yang teraniaya termasuk ibu bapa pelajar, masyarakat setempat, dan lain-lain lagi.

TUNTUTAN PENDIDIK

Kami JAWATANKUASA PENDIDIK membantah sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun dan tidak profesional ini serta mendesak Menteri Pelajaran Malaysia agar :

1. Menghentikan serta merta tindakan-tindakan kezaliman dan penganiayaan serta tidak bertamadun ke atas warga pendidik yang telah banyak berjasa dan berkorban demi kemajuan anak bangsa yang diilakukan oleh Kementerian Pelajaran sejak sekian lama khususnya semenjak UMNO / BN memerintah negara ini.

2. Mengembalikan semula hak guru-guru yang teraniaya ini kepada keadaan asal dan sedia kala agar mereka dapat menyumbang perkhidmatan terbaik kepada jabatan / sekolah seperti sebelumnya.

3. Kementerian Pelajaran mesti memastikan bahawa tindakan-tindakan yang tidak profesional ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang bagi tujuan kepentingan politik pegawai-pegawai PPD dan JPN yang terlibat dan dikenalpasti sebagai orang kuat UMNO / BN.

4. Mengambil tindakan disiplin lagi tegas terhadap pegawai di JPN, PPD, dan Sekolah yang bertindak tidak profesional, tidak mengikut prosedur dan mengikut telunjuk orang-orang politik (UMNO / BN) yang mempunyai agenda khusus

5. Menghentikan campur tangan dan pelabelan warga guru sebagai ”UMNO / BN” dan ”bukan UMNO / BN” melalui ”Tapisan Keutuhan Peribadi” dalam proses kenaikan pangkat guru di semua peringkat.

6. Membentuk satu ”Jawatankuasa Bebas” di bawah Parlimen bagi menangani dan mengendalikan kes-kes penganiayaan yang melibatkan guru.

CIKGU NORMALA BINTI SUDIRMAN
Presiden PENDIDIK,

Diserahkan kepada Menteri Pelajaran Malaysia di
Dewan Parlimen pada hari Isnin, 9 April 2012.

0 comments:

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP