>> Monday, August 27, 2012



"Bulan Ramadhan meninggalkan pengalaman yang cukup menginsafkan untuk kita muhasabah diri apabila menziarahi golongan yang kurang berkemampuan ,warga emas dan fakir miskin sambil menghulur sumbangan. Tanpa disedari , adakalanya kehidupan diri kita ini masih jauh lebih bertuah jika dibandingkan dengan ujian yang diterima oleh golongan yang kurang berkemampuan dan ibu tunggal serta anak yatim di dalam Bulan Ramadhan.Dalam keadaan hampir seminggu Aidilfitri kian menjelang, sudah pasti mereka berasa sedih kerana akan menyambut AidilFitri dalam keadaan serba kekurangan dan tidak berkemampuan untuk melengkapkan persiapan keluarga dan anak- anak". Demikian kata Cikgu Mala, Penyelia Pusat Aduan Rakyat Dun Pemanis, Parlimen Sekijang Johor baru- baru ini.
           Menyedari hal itulah, maka Pas Kawasan Sekijang dengan kerjasama Dewan Muslimat Pas Negeri Johor telah mengadakan 'Program Semarak Kasih Ramadhan 2012' ke DUN Pemanis untuk menyantuni rakyat . Program yang dikhususkan untuk menyantuni rakyat itu diserikan lagi dengan kehadiran YB Hjh Siti Zailah Bt. Muhd. Yusuf,Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat merangkap Ahli Parlimen Rantau Panjang, Kelantan Darul Naim. Bersama Skuad Prihatin Pusat Aduan Rakyat DUN Pemanis, mereka mengunjungi rumah kediaman rakyat yang dhaif dan kurang berkemampuan , menziarahi warga emas yang sakit serta meninjau kehidupan rakyat. Atas dasar keprihatinan yang tinggi juga,PAR DUN Pemanis menghulurkan sumbangan berupa beras dan barang keperluan dapur dan sumbangan kewangan untuk meringankan beban mereka.

          "Semoga ketibaan AidilFitri kali ini akan memberi seribu makna dan membawa kegembiraan dalam hidup mereka  walaupun berada dalam keadaan yang kurang berkemampuan. Ujian yang menimpa kita adalah dugaan hidup yang perlu dihadapi dengan tabah dan sabar , kerana itu tandanya ALLAH SWT mengasihi hambaNYA yang redha dengan ujian,qada' dan qadar ALLAH SWT..Menginsafi situasi inilah, maka kami turun untuk menyantuni rakyat dan menyelami denyut nadi kesusahan mereka agar dapat meringankan beban yang mereka hadapi" Kata Cikgu Mala lagi.

         Dengan memilih lokasi  Kg. Gubah, Kg.Tengah dan Kg. Tungku Tiga, kehadiran YB Zailah Cikgu Mala dan Skuad Prihatin Pusat Aduan Rakyat DUN Pemanis menimbulkan rasa terharu sehingga ada yang menitiskan airmata. Rasa sebak menyelubungi suasana di Kg. Gubah ketika YB Zailah dan Cikgu Mala menziarahi warga emas yang telah terlantar sakit hampir 7 bulan.Pn.Normah Bt. Muhammad,70 tahun yang menghidap sakit stroke dan  memerlukan pampers serta hanya minum susu melalui tiub salur getah sebagai makanan hariannya .Bukan sekadar menziarahi warga emas, mereka juga meninjau permasalahan rumah rakyat yang agak dhaif di Kg Tungku Tiga  dengan menghulurkan sumbangan selain bertanya khabar dan menasihati agar tabah menempuh ujian.

         "Sumbangan yang diberi walaupun tidak dapat menampung sepenuhnya keperluan hidup mereka ,sekurang- kurangnya dapat menggembirakan hati mereka yang berpuasa dan menghiburkan hati insan yang kurang berkemampuan. Lebih - lebih lagi, bagi warga emas yang diziarahi, sudah pasti terasa diri mereka dihargai selain dapat menimbulkan keinsafan dalam diri kami sendiri." Tegasnya lagi dengan penuh harapan.

          "Kami sentiasa bertekad untuk menjuarai isu kebajikan rakyat tanpa mengira perbezaan idealogi politik,bangsa dan agama di kalangan rakyat di DUN Pemanis ini kerana inilah ajaran Islam kepada ummatnya .Kami percaya ,keikhlasan yang lahir dari hati, akan jatuh ke hati mereka Insya- Allah..kami akan memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat sekiranya diberi mandat dalam PRU 13 nanti" Kata Cikgu Mala dengan penuh optimis.   

0 comments:

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP