ISU PEMANSUHAN UPSR& PMR:JANGAN SEPERTI TIKUS MEMBAIKI LABU

>> Saturday, July 10, 2010



KENYATAAN LAJNAH PENDIDIKAN DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT
"ISU PEMANSUHAN UPSR & PMR : JANGAN SEPERTI TIKUS MEMBAIKI LABU"


Cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia supaya peperiksaan UPSR dan PMR dimansuhkan perlu diteliti dan dikaji dengan penuh berhati-hati agar masa depan generasi pewaris masa depan negara tidak diperjudikan sekali lagi sebagaimana gagalnya pelaksanaan PPSMI yang kini lebih dilihat membazirkan duit rakyat serta meminggirkan pelajar luar bandar. Ungkapan peribahasa Melayu 'seperti tikus membaiki labu' haruslah dijadikan panduan agar kerosakan sistem pendidikan yang berlaku pada hari ini tidak semakin bercelaru hanya kerana tindakan yang terburu-buru tanpa kajian yang teliti dan diperhalusi secara mendalam.


Mungkin rakyat masih ingat lagi tentang dasar PPSMI yang semakin melebarkan jurang pendidikan antara pelajar luar bandar dan di bandar. Sebenarnya, saya selaku Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat semakin bimbang kerana, ura-ura dasar PPSMI yang akan dimansuhkan menjelang 2011 seolah-olah dilihat hanyalah 'gula-gula' yang diumpan kepada anak-anak kecil walhal pada hakikatnya pemansuhan secara berperingkat dengan alasan 'soft landing' akan memakan masa yang lama.Selepas ini,kita tidak mahu lagi melihat sistem pendidikan yang bercelaru dan pelbagai projek dilaksanakan atas nama dan slogan 'pendidikan anak bangsa' dilaburkan dengan begitu mudah tanpa kajian teliti. Akhirnya, implikasi yang diterima kesan daripada transformasi sistem pendidikan dilihat hanya lebih kepada 'retorik' semata- mata dan 'indah khabar dari rupa'. Implikasinya, guru dan pelajar menjadi mangsa 'eksperimen' pendidikan yang bercelaru.


Memang diakui, sistem pendidikan di Malaysia pada hari ini tidak mementingkan nilai pembangunan rohani dan sahsiah serta akhlak yang tinggi sebaliknya lebih berorientasikan 'peperiksaan' atau 'exam oriented' semata-mata. Mata pelajaran Pendidikan Islam pula tidak dimasukkan dalam subjek UPSR sedangkan di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, pelajar boleh mengambil lebih dari 5 matapelajaran. Persoalannya, apa salahnya jika pelajar Melayu Islam diwajibkan mengambil mata pelajaran Pendidikan Islam sebagai syarat wajib dalam UPSR? Bukankah dengan cara ini, penerapan nilai sahsiah yang tinggi sebagai individu muslim dapat diterjemahkan melalui perlakuan amalan dan tindakan apabila isi kandungan matapelajaran Pendidikan Islam dihayati oleh setiap pelajar?


Sesungguhnya,cabaran sistem pendidikan semasa dan gejala sosial yang kian meruncing di kalangan pelajar pada hari ini memerlukan penelitian yang rapi dan penuh berhati-hati apabila mahu mengubal sistem pendidikan yang ada pada masa kini. Masalah sosial yang sedang melanda sangat membimbangkan dan kian membarah dalam masyarakat. Kes jenayah,zina, isu buang bayi, sumbang mahram, kelahiran bayi luar nikah, jenayah ragut, kes bunuh dan bermacam-macam lagi sangat mendukacitakan. Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat melihat seolah-olah suatu keruntuhan nilai yang amat dahsyat sedang berlaku mutaakhir ini. Apalah gunanya negara memiliki bangunan tersergam indah dan bangunan pencakar langit yang menjulang tinggi tetapi dalam masa yang sama jatidiri generasi pewaris masa hadapan bergelar 'pelajar' yang disandarkan segala harapan untuk menerajui kepimpinan negara kian rapuh ditelan zaman. Justeru, hanya sistem pendidikan yang holistik dan bersepadu merangkumi penerapan nilai-nilai murni merupakan wadah penyelesaian terbaik dalam menangani isu pendidikan negara yang semakin meruncing.


Sesungguhnya, 'Guru' adalah 'agen' perubahan masyarakat. Gurulah insan yang suatu ketika dahulu berada di barisan hadapan dalam meniupkan kesedaran untuk mencapai 'kemerdekaan' tanahair. Gurulah yang membentuk 'jiwa dan minda merdeka' dari segala belenggu pemikiran negatif di kalangan masyarakat suatu ketika dahulu. Justeru, Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat menyeru kepada golongan pendidik dan pakar pendidikan di seluruh negara agar 'berani' membuat anjakan paradigma demi melihat sistem pendidikan negara dan masa depan pelajar yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara tidak diperjudikan dengan sewenang-wenangnya.Menyedari bahawa Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang yang digubal suatu ketika dahulu kini semakin tersasar jauh dari konsep JERI (Jasmani, Emosi, Rohani,Intelek), saya selaku Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat menyeru ahli akademik dan tokoh pendidikan tanahair agar berani menyuarakan pendapat melalui 'lisan dan mata pena' demi melihat kelangsungan masa depan anak bangsa menjadi lebih terarah dan memiliki halatuju yang jelas.


Persidangan Meja Bulat yang akan berlangsung pada 17 Julai dan 27 Julai ini sangat penting agar masa depan pelajar tidak 'terkorban' sekali lagi di tangan golongan 'pembuat dasar' di peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia sedangkan dalam masa yang sama golongan 'pelaksana dasar' yang mewakili lebih daripada 360,000 pendidik di seluruh Malaysia menjadi mangsa transformasi sistem pendidikan yang bercelaru. Cukuplah isu pemansuhan matapelajaran Jawi suatu ketika dulu yang akhirnya menyebabkan ramai pelajar Melayu Islam 'buta Al- Quran' dan tidak 'celik Tulisan Jawi'. Begitu juga dengan Dasar PPSMI yang telah bermula pada tahun 2003 yang belum dimansuhkan hingga kini.Sebenarnya, apa yang diharapkan dari golongan pendidik ialah aspek pembangunan rohani dan pemantapan spiritual yang tidak dikesampingkan demi mendepani cabaran pendidikan semasa dalam era globalisasi masa kini.Pemansuhan UPSR misalnya, haruslah diganti dengan suatu sistem pentaksiran yang lebih efektif dan efisyen dengan memasukkan unsur EQ ( Emotional Quationt), IQ (Inteligent Quotiont) dan SQ (Spiritual Quationt) di samping tidak meminggirkan penghayatan dan amalan ilmu yang lebih praktikal untuk diadaptasi dalam kehidupan pada masa akan datang seperti unsur kemahiran hidup,unsur nilai keusahawanan dan sifat berdikari dalam diri.

Di samping itu, pemilihan pelajar ke asrama penuh selepas peperiksaan UPSR sebelum ini pula perlu diganti dengan sistem penilaian yang lebih holistik, bukan sahaja berdasarkan keputusan akademik dan bilangan 'A' semata-mata sebaliknya merangkumi aspek ko-kurikulum dan aspek sahsiah diri agar kemasukan pelajar terpilih ke asrama penuh tidak mengundang masalah disiplin kemudian hari. Kita tidak mahu melahirkan generasi yang hanya cemerlang dalam bidang akademik semata-mata, tetapi hilang jatidiri dan nilai murni dalam diri seperti terdedah kepada kes buli yang akhirnya mengakibatkan nyawa pelajar lain melayang.


Isu kematian pelajar yang bernama Muhammad Naim Mustakim Bin Mohd. Sobri akibat dibuli pada 26 Jun yang lalu, daripada Maktab Tentera Diraja baru–baru ini menggemparkan dunia pendidikan negara kerana tidak menyangka kes seperti ini boleh berlaku di sekolah yang terbaik dan dari kalangan pelajar yang cemerlang akademiknya. Sudah pasti senario seperti ini akan menghakis kepercayaan ibu bapa dan orang ramai terhadap integriti dan kredibiliti institusi sekolah yang berkenaan.Bukan sahaja imej sekolah tercemar malahan nyawa pelajar yang tidak bersalah menjadi korban gara- gara sikap segelintir pelajar yang bermasalah dan tidak bertanggungjawab. Sudah pasti ibu bapa pelajar mangsa yang terkorban berasa sangat kecewa kerana mereka mengharapkan anak yang dihantar belajar di sekolah terpilih dan tersohor akan menjadi insan yang berguna dan berbakti kepada negara tetapi malangnya pulang kepangkuan keluarga dalam keadaan telah menjadi mayat dan terbujur kaku serta tidak akan kembali lagi bersama mereka. Kes seperti ini, harus menjadi pengajaran penting untuk diperhalusi oleh pihak kementerian agar perkara seperti ini tidak berulang lagi.


Manakala, pemansuhan PMR pula memerlukan rasional yang wajar agar diterima baik oleh golongan pendidik, tokoh pendidikan,golongan ahli akademik,ibu bapa dan pelajar agar mereka tidak merasakan bahawa pemansuhan PMR ini hanya ’menggadai’ masa depan anak bangsa semata- mata.Tuntasnya, transformasi sistem pendidikan ini tidak boleh dilaksanakan secara terburu- buru sebaliknya memerlukan kajian yang cukup teliti dan ’dimurnikan’ secara berperingkat.


Sekali lagi, saya selaku Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat ingin membuat penegasan bahawa kajian teliti perlu dibuat dengan mengambilkira aspek yang telah disebutkan di atas selain mewujudkan suatu sistem pentaksiran pelajar yang lebih holistik jika pemansuhan UPSR dan PMR mahu dilaksanakan. Kalau perlu, bukan setakat Persidangan Meja Bulat pada 17 Julai dan 27 Julai ini, malahan 'sesi pendengaran awam' juga amat penting dan perlu diadakan agar rakyat berpeluang menyuarakan pandangan dan pendapat demi melihat kelangsungan sistem pendidikan negara lebih konsisten dan terarah serta memiliki halatuju yang jelas.


Wardatul Jannah As- Soffea

Pengerusi Lajnah PendidikanDewan Muslimat PAS Pusat

0 comments:

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP