MAJLIS JASAMU DIKENANG 2010 ANJURAN LAJNAH PENDIDIKAN DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT

>> Saturday, May 29, 2010


Pada 28 Mei 2010 bersamaan 7 Jamadil Akhir 1431H iaitu pada hari Jumaat , Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat Pas Pusat dengan kerjasama Dewan Muslimat Negeri Johor telah menganjurkan Sambutan Hari Guru iaitu Program MAJLIS ’JASAMU DI KENANG ’2010 untuk meraikan para pendidik khususnya guru wanita Islam di Impian Hotel , Batu Pahat ,Johor. Majlis yang telah berlangsung bermula jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari diadakan bertujuan untuk mengiktiraf jasa dan pengorbanan para pendidik dalam memberi sumbangan mendidik generasi masa hadapan. Ini juga sebagai salah satu usaha dan harapan untuk meningkatkan motivasi bekerja di kalangan para pendidik dalam memacu kecemerlangan pendidikan negara.

Pengerusinya, Puan Wardatul Jannah As Sofea berkata, perjuangan para guru dalam merealisasikan pendidik berjiwa rabbani amat penting demi kelangsungan generasi masa hadapan. Justeru,pengiktirafan untuk para pendidik amat perlu demi membangkitkan momentum perjuangan demi mendidik masyarakat demi mencari keredhaan Illahi.
Majlis tersebut telah dihadiri dan dirasmikan oleh Ustazah Nuridah Bt. Mohd. Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat. Selain itu, Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat Pas Pusat, AJK Dewan Muslimat Negeri Johor dan barisan AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Johor juga telah hadir bagi memeriahkan majlis ini.
Bertemakan ’Pendidik Pencetus Transformasi Modal Insan’,adalah diharapkan barisan pendidik di seluruh negara mampu mencetuskan satu anjakan baru dalam dunia pendidikan dalam menggalas amanah dan cabaran pendidikan semasa.
Inilah kali pertama dalam sejarah penubuhan Dewan Muslimat Pas ,para pendidik telah berkumpul untuk diraikan dalam satu program yang cukup bersejarah iaitu, guru-guru yang bertugas di institusi pendidikan yang dimiliki oleh NGO Islam & Sekolah Agama Rakyat.,Tidak dilupakan juga bagi guru yang bertugas di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia serta guru-guru PASTI. Program seperti ini juga diharap dapat meningkatkan ukhuwwah, kesefahaman dan silaturrahim antara barisan pendidik dari pelbagai institusi.
Selain majlis perasmian dan ucaptama oleh Ustazah Nuridah Bt. Mohd. Salleh,majlis tersebut telah diserikan lagi dengan acara Nasyid selawat dan bacaan Asmaul Husna,bacaan Ikrar Hari Guru & Lagu Guru Malaysia, tayangan multimedia sempena Majlis Jasamu Dikenang, persembahan deklamasi sajak & nasyid juga pelancaran Sukarelawan Pendidikan Rakyat Muslimat .Menurut Puan Wardatul Jannah,pada tahun hadapan Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat bercadang akan mengatur majlis seperti ini dengan lebih terancang selain akan memberi anugerah ’ Tokoh Guru Srikandi Pejuang’ bagi muslimat yang aktif menjadi penggerak parti sekaligus berperanan sebagai pendidik kepada masyarakat.
Pada kali ini, Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat Pas Pusat bersetuju memilih Negeri Johor sebagai tuan rumah untuk sambutan Hari Guru tahun 2010 dan program ini akan diadakan pada masa- masa akan datang mengikut giliran yang akan ditakwimkan kelak. Pengerusinya, Puan Wardatul Jannah As Sofea berkata beliau ,cukup terharu atas kesudian Ustazah Nuridah Bt. Mohd. Salleh selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat hadir dan melapangkan masa untuk meraikan sambutan Hari Guru 2010 di negeri Johor Darul Takzim..Semoga kehadiran beliau akan member motivasi dan semangat kepada barisan para pendidik demi melahirkan generasi berjiwa rabbani.
Majlis tersebut telah berlangsung dalam suasana yang cukup meriah. Acara memotong kek Hari Guru dan persembahan nasyid daripada Ustaz Abdullah Hussin , Ketua Dewan Ulamak Negeri Johor merangkap Pengerusi Lajnah Pendidikan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor telah menceriakan lagi majlis itu. Selain itu, persembahan deklamasi sajak daripada pelajar juga telah menarik perhatian hadirin yang hadir pada hari yang penuh bersejarah itu.

Puan Wardatul Jannah As Sofea , Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat berharap semoga pada tahun hadapan, majlis sambutan Hari Guru anjuran Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat akan bertambah meriah dan diserikan lagi dengan acara yang lebih menarik, katanya lagi.
(Petikan berita daripada Lajnah Pendidikan DMPP)









0 comments:

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP