SEKILAS KENANGAN MAJLIS JASAMU DIKENANG (9)

>> Monday, May 31, 2010

Saya tamatkan coretan tentang Majlis Jasamu Dikenang 2010 setakat di sini. Segala pengalaman ketika mengendalikan program akan saya jadikan panduan untuk bekalan diri sebagai srikandi pejuang yang kerdil di sisi NYA.Betapa agungnya kebesaran Illahi..,.Pesanan saya buat pengunjung blog ini, ingatlah...sekiranya kita berazam untuk melakukan sesuatu keranaNYA,pasti Allah s.w.t akan mempermudahkan urusan kita. Apa pun, kita sebagai insan yang penuh dengan kelemahan dan bersifat tidak sempurna,haruslah sentiasa berusaha dan bertawakal . Sesungguhnya segala kesempurnaan adalah milik Allah s.w.t jua.Alhamdulillah...
"Ya Allah, jadikanlah kami pendidik, muaadib dan muaalim yang mampu membimbing generasi pewaris kepimpinan masa hadapan ke arah ilmu duniawi dan ukhrawi agar mereka menjadi insan yang berbahagia hidup di dunia dan akhirat. Amin..."

Kamilah pendidik srikandi perjuangan.'Pendidik Pencetus Transformasi Modal Insan'.


Segalanya abadi dalam kenangan.Buat semua srikandi pejuang yang mengunjungi blog ini...Ingatlah bahawa, kitalah mata rantai perjuangan.Marilah kita abdikan seluruh sisa hidup ini, untuk mencari keredhaan Illahi.Suka- duka, pahit manis pengalaman dan ujian serta mehnah dan tribulasi tidak pernah sunyi dari kehidupan insan bergelar srikandi pejuang .Apa yang penting ialah, keikhlasan dan istiqamah dalam perjuangan. Allah pasti akan memberkati hidup kita..Yakinilah.....!Selamat berjuang dan Selamat Berkorban Untuk Islam! Takbir!!!

Read more...

SEKILAS KENANGAN MAJLIS JASAMU DIKENANG (8)

>> Sunday, May 30, 2010

Persembahan Deklamasi sajak sempena Majlis Jasamu Dikenang.

Hadirin berdiri untukmenyanyikan lagu dan melafazkan ikrar.
Sebahagian barisan pendidik berdiri untuk mengalunkan selawat, bacaan Asmaul Husna,nyanyian Lagu Tema PAS, Al- Amal dan Guru Malaysia.

Read more...

SEKILAS KENANGAN MAJLIS JASAMU DIKENANG (6)

Bersama - sama menyaksikan tayangan montaj Pelancaran Sukarelawan Pendidikan Rakyat Muslimat peringkat Negeri Johor setelah mengiringi Ustazah Nuridah Bt. Mohd. Salleh 'klik' button di laptop.

Gelak ketawa memecah suasana dan tergambar wajah ceria dan gembira ketika mereka memotong kek Majlis Jasamu Dikenang.




Barisan pendidik,diketuai oleh Ustaz Abdulah bin Hussin dan tetamu muslimin yang hadir juga dipersilakan memotong kek sebagai simbolik meraikan Hari Guru iaitu Majlis Jasamu Dikenang 2010.

Read more...

SEKILAS KENANGAN MAJLIS JASAMU DIKENANG (5)

Majlis bermula.Backdrop yang ditempah ada kesilapan sedikit.Perkataan DMPP di tulis BMPD.Begitulah hakikat kelemahan insan,sesungguhnya segala kesempurnaan adalah milik Allah jua. Tak apalah, yang penting , barisan pendidik gembira pada hari itu...

Kami duduk di bahagian hadapan sementara menunggu majlis bermula.






Kami sangat berbesar hati kerana Ustaz Abdullah Hussin ,Ketua Dewan Ulamak merangkap Pengerusi Lajnah Pendidikan Badan Perhubungan Negeri Johor telah hadir bersama beberapa AJK Dewan Ulamak dan Dewan Pemuda bagi meraikan majlis Jasamu Dikenang 2010.

Read more...

SEKILAS KENANGAN MAJLIS JASAMU DIKENANG (4)

Kesudian Ustazah Nuridah Bt. Mohd. Salleh , Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat melapangkan masa bersama barisan pendidik untuk meraikan Majlis Jasamu Dikenang amat kami hargai.Saya telah menyampaikan cenderahati kepada Ustazah Nuridah yang sudi menyampaikan ucaptama dan menyempurnakan majlis perasmian Majlis Jasamu Dikenang 2010 di negeri Johor Darul Takzim pad 28 Mei, di Impian Hotel, Parit Raja Batu Pahat .

Saya juga telah menyampaikan cenderahati mewakili Lajanah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat kepada Pn. Hjh.Atiah Bt Ahmad,Ketua Dewan Muslimat Pas Negeri Johor sempena majlis yang cukup bersejarah ini. Penyampaian cenderahati sebagai tanda kenang- kenangan telah memeriahkan lagi majlis pada hari Jumaat yang penuh keberkatan ini. Saya telah menyampaikan cenderahati bagi pihak Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat kepada Ustaz Abdullah bin Hussin, Ketua Dewan Ulamak BPPNJ merangkap Pengerusi Lajnah Pendidikan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor yang sudi hadir bagi memeriahkan majlis.Beliau telah mengetuai bacaan Ikrar Hari Guru dan menyampaikan persembahan nasyid sempena Majlis Jasamu Dikenang.

Read more...

SEKILAS KENANGAN MAJLIS JASAMU DIKENANG (3)

Ustazah Nuridah Bt. Mohd. Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat telah menyampaikan ucaptama dan merasmikan Majlis Jasamu Dikenang 2010 pada 28 Mei ,di Impian Hotel Batu Pahat Johor.

Pn.Hjh.Atiah Bt. Ahmad, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Johor telah menyampaikan ucapan alu-aluan.




Ucapan semasa Majlis Jasamu Dikenang telah menyemarakkan obor perjuangan kepada barisan pendidik untuk dijadikan azimat agar terus istiqamah dalam perjuangan.Saya telah menyampaikan ucapan dan Perutusan Hari Guru 2010 mewakili Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat.




Read more...

SEKILAS KENANGAN MAJLIS JASAMU DIKENANG (2)

Kami mengabadikan kenangan sebelum majlis berakhir bersama Ustazah Nuridah Bt. Mohd. Salleh,Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat sebelum majlis tamat.Alangkah indahnya perjuangan...

Kami memotong kek beramai- ramai sebagai simbolik ketika acara kemuncak majlis.Acara ini cukup meriah dan kelihatan sebahagian daripada barisan para pendidik yang hadir begitu gembira dan ceria ketika mereka diraikan oleh Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat dalam Program Majlis Jasamu Dikenang 2010.Lebih- lebih lagi apabila Ustazah Nuridah ada bersama.

Mempersilakan Ustazah Nuridah Bt. Mohd Salleh ,Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat dan Pn. Hjh Atiah Bt. Ahmad ,Ketua Dewan Muslimat Pas Negeri Johor ke hadapan pentas untuk acara memotong kek sempena Hari Guru 2010.






Kami mengabadikan kenanganberamai- ramai bersama Ustazah Nuridah Bt. Mohd Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, sebelum majlis bersurai.

Read more...

SEKILAS KENANGAN MAJLIS JASAMU DIKENANG (1)

Mengabadikan kenangan selepas majlis berakhir.Segalanya pasti meninggalkan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.Alangkah agungnya kebesaran Illahi...Sesungguhnya pengalaman mengendalikan Program Majlis Jasamu Dikenang 2010 sungguh menginsafkan saya bahawa segala usaha dan kelancaran majlis ini sesungguhnya dengan pertolongan Allah s.w.t jua. Dalam keadaan tidak sampai setahun era penubuhan lajnah Pendidikan DMPP,dua program besar telah dapat dianjurkan iaitu Konvensyen Guru- Guru Wanita Islam Malaysia pada 28 Mac di Shah Alam Selangor dan Majlis Jasamu Dikenang 2010 pada 28 Mei di Impian Hotel, Batu Pahat Johor.Alhamdulillah...Sesungguhnya segala kesempurnaan adalah milik Allah s.w.t jua.
Ya Allah...Semoga setitis amal baktiku ini ada nilaiannya di sisiMu di akhirat nanti. Syukran...

Read more...

SEKILAS KENANGAN MAJLIS JASAMU DIKENANG 2010

>> Saturday, May 29, 2010


Salam ukhuwwah dan salam perjuangan...

Apa khabar kepada semua pengunjung blog ini. Saya sentiasa berdoa agar semuanya sentiasa di dalam lindungan dan kasih sayang Allah s.w.t sentiasa.
Saya ingin berkongsi cerita ketika menjadi pengarah program sambutan Hari Guru iaitu 'MAJLIS JASAMU DIKENANG 2010' anjuran Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat.Alhamdulillah...majlis yang telah diatur telah berjalan lancar dan cukup meriah.
Kesudian Ustazah Nuridah Bt. Mohd. Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat yang telah melapangkan masa hadir untuk menyampaikan ucaptama dan menyempurnakan majlis perasmian, cukup menyentuh hati saya.Ketibaan beliau seawal Subuh hari bersama suaminya dan keluarganya di Impian Hotel ,Batu Pahat pada 28 Mei 2010 di pagi hari Jumaat yang penuh keberkatan iaitu penghulu bagi segala hari semakin membuatkan saya berazam untuk berbakti dan berjuang sebagai srikandi pejuang selagi khidmat saya diperlukan...
Sokongan suami yang cukup banyak membantu membuatkan diri ini cukup 'terkesan'. Kami sekeluarga telah tiba seawal jam 12 tengah malam dan menginap di Hotel Impian bagi memastikan program awal pagi esok berjalan lancar. 3 orang cahayamata saya juga begitu teruja ingin bermalam di hotel disamping katanya ingin membantu 'Ummi'nya...Alhamdulillah..Segala urusan telah dipermudahkan Allah..."Ya Allah, bantulah hambaMU ini untuk terus istiqamah dalam perjuangan yang penuh mehnah dan tribulasi ini".Amin...

Read more...

MAJLIS JASAMU DIKENANG 2010 ANJURAN LAJNAH PENDIDIKAN DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT


Pada 28 Mei 2010 bersamaan 7 Jamadil Akhir 1431H iaitu pada hari Jumaat , Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat Pas Pusat dengan kerjasama Dewan Muslimat Negeri Johor telah menganjurkan Sambutan Hari Guru iaitu Program MAJLIS ’JASAMU DI KENANG ’2010 untuk meraikan para pendidik khususnya guru wanita Islam di Impian Hotel , Batu Pahat ,Johor. Majlis yang telah berlangsung bermula jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari diadakan bertujuan untuk mengiktiraf jasa dan pengorbanan para pendidik dalam memberi sumbangan mendidik generasi masa hadapan. Ini juga sebagai salah satu usaha dan harapan untuk meningkatkan motivasi bekerja di kalangan para pendidik dalam memacu kecemerlangan pendidikan negara.

Pengerusinya, Puan Wardatul Jannah As Sofea berkata, perjuangan para guru dalam merealisasikan pendidik berjiwa rabbani amat penting demi kelangsungan generasi masa hadapan. Justeru,pengiktirafan untuk para pendidik amat perlu demi membangkitkan momentum perjuangan demi mendidik masyarakat demi mencari keredhaan Illahi.
Majlis tersebut telah dihadiri dan dirasmikan oleh Ustazah Nuridah Bt. Mohd. Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat. Selain itu, Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat Pas Pusat, AJK Dewan Muslimat Negeri Johor dan barisan AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Johor juga telah hadir bagi memeriahkan majlis ini.
Bertemakan ’Pendidik Pencetus Transformasi Modal Insan’,adalah diharapkan barisan pendidik di seluruh negara mampu mencetuskan satu anjakan baru dalam dunia pendidikan dalam menggalas amanah dan cabaran pendidikan semasa.
Inilah kali pertama dalam sejarah penubuhan Dewan Muslimat Pas ,para pendidik telah berkumpul untuk diraikan dalam satu program yang cukup bersejarah iaitu, guru-guru yang bertugas di institusi pendidikan yang dimiliki oleh NGO Islam & Sekolah Agama Rakyat.,Tidak dilupakan juga bagi guru yang bertugas di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia serta guru-guru PASTI. Program seperti ini juga diharap dapat meningkatkan ukhuwwah, kesefahaman dan silaturrahim antara barisan pendidik dari pelbagai institusi.
Selain majlis perasmian dan ucaptama oleh Ustazah Nuridah Bt. Mohd. Salleh,majlis tersebut telah diserikan lagi dengan acara Nasyid selawat dan bacaan Asmaul Husna,bacaan Ikrar Hari Guru & Lagu Guru Malaysia, tayangan multimedia sempena Majlis Jasamu Dikenang, persembahan deklamasi sajak & nasyid juga pelancaran Sukarelawan Pendidikan Rakyat Muslimat .Menurut Puan Wardatul Jannah,pada tahun hadapan Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat bercadang akan mengatur majlis seperti ini dengan lebih terancang selain akan memberi anugerah ’ Tokoh Guru Srikandi Pejuang’ bagi muslimat yang aktif menjadi penggerak parti sekaligus berperanan sebagai pendidik kepada masyarakat.
Pada kali ini, Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat Pas Pusat bersetuju memilih Negeri Johor sebagai tuan rumah untuk sambutan Hari Guru tahun 2010 dan program ini akan diadakan pada masa- masa akan datang mengikut giliran yang akan ditakwimkan kelak. Pengerusinya, Puan Wardatul Jannah As Sofea berkata beliau ,cukup terharu atas kesudian Ustazah Nuridah Bt. Mohd. Salleh selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat hadir dan melapangkan masa untuk meraikan sambutan Hari Guru 2010 di negeri Johor Darul Takzim..Semoga kehadiran beliau akan member motivasi dan semangat kepada barisan para pendidik demi melahirkan generasi berjiwa rabbani.
Majlis tersebut telah berlangsung dalam suasana yang cukup meriah. Acara memotong kek Hari Guru dan persembahan nasyid daripada Ustaz Abdullah Hussin , Ketua Dewan Ulamak Negeri Johor merangkap Pengerusi Lajnah Pendidikan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor telah menceriakan lagi majlis itu. Selain itu, persembahan deklamasi sajak daripada pelajar juga telah menarik perhatian hadirin yang hadir pada hari yang penuh bersejarah itu.

Puan Wardatul Jannah As Sofea , Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat berharap semoga pada tahun hadapan, majlis sambutan Hari Guru anjuran Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat akan bertambah meriah dan diserikan lagi dengan acara yang lebih menarik, katanya lagi.
(Petikan berita daripada Lajnah Pendidikan DMPP)









Read more...

PERUTUSAH HARI GURU 2010 DARIPADA LAJNAH PENDIDIKAN DMPP


Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam perjuangan.Saban tahun, detik bersejarah tanggal 16 Mei merupakan tarikh istimewa yang cukup bermakna bagi insan bergelar ’guru’. Hampir 360,000 golongan pendidik akan diraikan sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini. Selaku Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat, saya ingin mengucapkan ’Selamat Menyambut Hari Guru’ kepada semua barisan pendidik yang telah mencurahkan bakti bagi menggalas tanggungjawab dan amanah dalam memacu halatuju pendidikan negara.
Sesungguhnya, cabaran sistem pendidikan semasa dan gejala sosial yang kian meruncing di kalangan pelajar memerlukan kesediaan pemantapan rohani yang kuat dan kesabaran yang tinggi di kalangan pendidik. Perjuangan para guru dalam merealisasikan pendidik berjiwa rabbani amat penting demi kelangsungan generasi masa hadapan.
Saya juga ingin merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan barisan pendidik dari peringkat awal pendidikan kanak- kanak hinggalah ke peringkat IPT. Sudah pasti penghargaan ini ditujukan khususnya kepada golongan wanita yang bergelar ’muslimat’ dan mendominasi bidang pendidikan negara dalam memacu halatuju modal insan agar lahir generasi yang seimbang dan berbahagia di dunia dan akhirat.Sesungguhnya, amat disedari bahawa golongan wanita yang bergelar ’muslimat ’ merupakan insan yang cukup istimewa. Mereka dianugerahi ’sifat keibuan’ yang penuh kelembutan dan kasih sayang melebihi kaum lelaki. Justeru, profesion perguruan amat sesuai dan cukup sinonim dengan golongan bergelar wanita. Kitalah ibu, kitalah isteri, kitalah pekerja, kitalah pendidik, kitalah pendakwah, kitalah pemimpin dan kitalah juga penggerak dalam parti dan masyarakat. Di tangan kitalah, tergalas amanah dan tanggungjawab untuk mendidik pelajar yang suatu ketika nanti akan berada di gelanggang masyarakat.
Dewasa ini, gejala sosial yang sedang melanda sangat membimbangkan dan kian membarah dalam masyarakat. Kes jenayah, zina, isu buang bayi, sumbang mahram, kelahiran bayi luar nikah, jenayah ragut, kes bunuh dan bermacam-macam lagi sangat mendukacitakan. Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat melihat seolah- olah suatu keruntuhan nilai yang amat dahsyat sedang berlaku mutaakhir ini. Apalah gunanya negara memiliki bangunan pencakar langit dan menjulang tinggi tetapi dalam masa yang sama jati diri generasi pewaris masa hadapan bergelar ’pelajar’ yang disandarkan segala harapan untuk menerajui kepimpinan negara kian rapuh ditelan zaman. Justeru, hanya Islam yang syumul sebagai wadah penyelesaian terbaik dalam menangani isu pendidikan negara yang semakin meruncing.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang”.(Al-Maidah: ayat 56)
Nasib dan kebajikan para guru juga kian diabaikan dan tiada pembelaan. Dalam masa yang sama, mereka berdepan dengan tekanan dari pelbagai sudut untuk terus mendidik anak bangsa agar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Apa yang paling menyedihkan, hanya kepada para guru seolah- olah dibebankan segala tanggungjawab ini. Sebahagian pihak berperanan sebagai ’pembina’ malangnya sebahagian pihak pula menjadi ’peruntuh’ masa depan. Manakala peranan pihak kerajaan, media bercetak dan media elektronik selain institusi kekeluargaan seolah-olah semakin dikesampingkan. Sedangkan mereka juga berperanan mendidik masyarakat bagi melahirkan insan berjiwa rabbani. Bukankah tanggungjawab mendidik masyarakat mesti digalas secara kolektif dan bersepadu?Justeru, penghargaan dan pengiktirafan daripada masyarakat melalui kad ucapan, menaikkan banner atau majlis perayaan kepada golongan pendidik amat penting untuk membangkitkan momentum perjuangan ke arah ’mendidik masyarakat’ demi mencari keredhaan llahi.
Tema yang dipilih di peringkat Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat pada tahun ini ialah ’Pendidik Pencetus Transformasi Modal Insan’. Tema ini dipilih berdasarkan hasrat, visi dan misi Lajnah Pendidikan DMPP untuk melahirkan generasi yang seimbang dari aspek spiritual, intelektual, emosi dan fizikal melalui sistem pendidikan yang bersifat holistik dan global. Di tangan para gurulah, terletaknya peranan untuk melahirkan pelajar yang memiliki sahsiah unggul dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa bersumberkan sistem ’Pendidikan Rabbani”.Tentunya, ’transformasi sistem pendidikan’ dan ’transformasi budaya’ yang dicetuskan oleh para guru bakal melahirkan modal insan yang berbahagia hidup di dunia dan di akhirat.Memang tidak dapat dinafikan, dalam kegembiraan meraikan Hari Guru yang cukup bermakna ini, para guru berdepan dengan kebajikan yang diabaikan dan hak guru yang semakin dinafikan. Atas nama ’dasar penjimatan ’ golongan guru pada tahun ini sering dinafikan dari segi tuntutan perjalanan semasa berkursus dan aktiviti pendidikan yang dikurangkan. Dalam masa yang sama, mereka berdepan dengan dasar-dasar pendidikan yang bercelaru. Umpamanya kesan yang kini dirasai berikutan dasar PPSMI 6 tahun dahulu yang membazirkan duit rakyat serta meminggirkan pelajar luar bandar.Ura-ura dasar PPSMI yang akan dimansuhkan menjelang 2011 seolah-olah hanyalah ’gula- gula’ yang diumpan kepada anak-anak kecil walhal pada hakikatnya pemansuhan secara berperingkat dengan alasan ’soft landing’ memakan masa yang lama. Persoalannnya, bagaimana pula dengan mudah RM100 juta dibazirkan untuk Program Permata Negara dan puluhan ribu dicurahkan kepada hanya 20 buah sekolah berprestasi tinggi? Pelbagai projek kononya atas nama dan slogan ’pendidikan anak bangsa dilaburkan dengan begitu mudah, tetapi dalam masa yang sama meminggirkan kebajikan kaum guru adalah sangat dikesali.
Sesungguhnya, guru adalah ’agen’ perubahan masyarakat. Gurulah insan yang suatu ketika dahulu berada di barisan hadapan dalam meniupkan kesedaran untuk mencapai ’kemerdekaan’ tanah air. Gurulah yang membentuk ’jiwa dan minda merdeka’ dari segala belenggu pemikiran negatif di kalangan masyarakat suatu ketika dahulu. Justeru, saya ingin menyeru kepada barisan pendidik di seluruh negara agar ’berani’ membuat anjakan paradigma demi melihat perubahan iklim pentadbiran negara agar masa depan pelajar yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara tidak diperjudikan dengan sewenang-wenangnya. Bangkitlah wahai para guru dalam mempertahankan hak dan kebajikan yang kian diabaikan. Beranilah menyuarakan pendapat melalui ’lisan dan mata pena’ demi melihat kelangsungan masa depan anak bangsa menjadi lebih terarah dan memiliki halatuju yang jelas. Mantapkanlah jati diri selaku pendidik dari aspek pembangunan rohani dan pemantapan spiritual demi menghadapi cabaran pendidikan semasa dalam era globalisasi.
Sekali lagi, saya mewakili Lajnah Pendidikan DMPP ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Guru tahun 2010 kepada:
1. Guru-guru yang bertugas di institusi pendidikan yang dimiliki oleh ahli-ahli PAS
2. Guru-guru yang bertugas di institusi pendidikan yang dimiliki oleh NGO Islam
3. Guru-guru yang bertugas di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia
4. Guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti)
5. Guru-guru/pensyarah/pegawai yang bertugas di Institusi Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran Malaysia.
Akhir kata, Selamat Menyambut Hari Guru dengan tema ’Guru Pencetus Transformasi Modal ’.
Serangkap pantun daripada saya:

Gunung Bentan gilang- gemilang,
Air laut tenang- tenangan,
Budimu tuan tidakkan hilang,
Itu menjadi kenang-kenangan.


Daripada :Wardatul Jannah As-Soffea

Pengerusi Lajnah PendidikanDewan Muslimat Pas Pusat

Read more...

PENDIDIK PENCETUS TRANSFORMASI MODAL INSAN

>> Sunday, May 16, 2010


Salam ukhuwwah dan salam perjuangan...Saya selaku Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat ingin memohon kerjasama kepada semua Dewan Muslimat Negeri- Negeri, Dewan Muslimat Kawasan - kawasan juga Dewan Muslimat Cawangan agar menaikkan sepanduk (Banner) sempena Hari Guru sepanjang bulan Mei ini sebagai tanda pengiktirafan kepada jasa dan pengorbanan golongan pendidik dalam menjana modal insan demi memacu halatuju pendidikan negara.Syukran..

Read more...

UCAPAN SELAMAT HARI GURU 2010







Salam ukhuwwah dan salam perjuangan. Saya mewakili Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat ingin mengucapkan 'Selamat Hari Guru' kepada semua barisan pendidik di seluruh Malaysia.Tema Hari Guru Tahun ini bagi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat ialah 'Pendidik Pencetus Transformasi Modal Insan'.Tuan- tuan dan puan -puan sahabat seperjuangan semua boleh hayati ucapan saya bersempena tarikh 16 Mei 2010 di :


1.Website : harakahdaily


2.Website :Dewan Muslimat PAS Pusat


3.website :PAS Pusat


Semoga kita akan sentiasa istiqamah dalam perjuangan.Sesungguhnya, kita juga merupakan 'guru' dalam perjuangan...Syukran..Wassalam...

Read more...

Perjumpaan Dengan Pimpinan Pakatan Rakyat Kawasan

>> Friday, May 14, 2010

Alangkah indahnya jalinan silaturrahim jika visi dan misi perjuangan sehati dan sejiwa.

Saya dan suami mengabadikan kenangan bersama Mr. Phang,selakuPengerusi PKR di tempat saya dan Pn. Natrah, Ketua Wanita PKR.

Salam ukhuwwah..April dan Mei merupakan bualan yang cukup sibuk bagi saya. Entah kenapa, kesibukan dan keletihan telah membuatkan saya kurang berkesempatan untuk 'update' blog. Maaf kiranya, pengunjung yang melayari blog ini terpaksa menutupnya semula dengan wajah hampa lantaran ianya masih berlegar dengan cerita yang sama.
April lepas, saya dan suami sempat ke Pejabat Cabang PKR di tempat saya untuk beramah mesra dalam suatu lawatan ziarah disamping untuk membincangkan beberapa perkara yang bakal diadakan.Antaranya ialah penubuhan Majlis Sekretariat Pakatan Rakyat di tempat kami.Pertemuan berlangsung dalam suasana yang cukup santai dan harmoni.
Kedatangan kami disambut dengan penuh suasana ceria.Mereka menjemput kami datang untuk menjalinkan ikatan silaturrahim demi kelangsungan perjuangan yang kita bersama rasai.

Read more...

SEKILAS KENANGAN SEBELUM MUKTAMAR DMP MELAKA KALI KE 41 BERAKHIR

>> Monday, May 3, 2010

Mengabadikan kenangan sejurus tamat majlis perasmian,bersama Dr. Hajjah Khatijah Bt. Jumangat(Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka),Pn.Hajjah Shopiah Bt. Hj.Ahmad(Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka),Pn. Hajjah Kintan Bt. Hj. Man(Setiausaha Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka).

'Muslimat Obor Perjuangan'.Semoga ukhuwwah antara kita berpanjangan.

Saya teruskan semula catatan ini...Majlis perasmian berakhir dengan cukup meriah.Tayangan montaj tentang aktiviti muslimat Negeri Melaka, cukup menyentuh hati.Layanan dan kemesraan dari semua AJK Dewan Muslimat Pas Negeri Melaka tidak akan saya lupakan.Hidangan Nasi Briyani dan lauk pauk begitu istimewa bagi saya.Suasana Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka Kali ke 41,berjalan lancar.Alhamdulillah..

Muktamar sebagai medan muhasabah dan penambahbaikan gerakerja ke arah menegakkan Daulah Islamiyyah telah berjaya dilaksanakan dan disempurnakan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan Parti Islam SeMalaysia (PAS).Semua perwakilan dari 6 kawasan , begitu aktif mengeluarkan idea terutama dalam sesi perbahasan usul dan ucapan penangguhan.Moga Negeri Melaka akan berjaya dalam PilihanrayaKecil atau PRU kali ke 13.Amin..

Saya akhiri catatan ini dengan serangkap pantun yang saya dedikasikan khusus untuk muslimat Negeri Melaka :

Gunung Bentan gilang-gemilang
Air laut tenang- tenangan
Budimu puan tidakkan hilang
Itu menjadi kenang- kenangan

Read more...

SEKILAS KENANGAN MUKTAMAR DEWAN MUSLIMAT PAS NEGERI MELAKA KALI KE 41

>> Sunday, May 2, 2010



Yang menarik ialah kehadiran wanita Pakatan Rakyat iaituPn. Mahani Bt. Masban,Ketua wanita PKR Melaka dan Ketua wanita JIM .Dalam perasmian muktamar, sempat saya berbual dan berkenalan dengan mereka.Selepas ucapan perasmian,kami dijamu Nasi Briyani.Saya sempat mengambil nombor telefon dan mengabadikan kenangan bersama Pn. Mahani dan Dr. Lo' Lo sementara menunggu Nasi Briyani dihidangkan.Hem ..Aroma Nasi Briyani cukup menyegarkan .

Read more...

SEKILAS KENANGAN MUKTAMAR DEWAN MUSLIMAT PAS NEGERI MELAKA


Dr.Lo' Lo' pula dalam ucaptama perasmiannya telah mengatakan bahawa seramai hampir 240,00 orang bayi yang dilahirkan tanpa berbapa.Isu buang bayi pada hari ini memerlukan komitmen yang bersepadu dan menyeluruh.Di sinilah terletaknya peranan muslimat untuk mendidik masyarakat melalui pendekatan 'amar maaruf nahi mungkar'.Jangan beralasan untuk berjuang sebagaimana dalam surah At- Taubah, ayat 24.

Dr. Hajjah Khatijah Bt. Jumangat, Ketua Dewan Muslimat Pas Negeri Melaka telah memberi motivasi agar semua muslimat terus bersemangat untuk terus berjuang walaupun Melaka belum lagi memenangi sebarang kerusi dalam PRU ke 12.Hubungan dengan komponen Pakatan Rakyat perlu dijalinkan, agar ukhuwwah terus terjalin dalam usaha memenangi hati rakyat.Nisa' perlu berani menarik sokongan remaja.Beliau mengakhiri ucapannya dengan kata - kata: ' Islam tidak memerlukan anda, tetapi andalah yang memerlukan Islam.

Mejar Bersara Jasmi Bin Tumpang yang merupakanTimbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka telah menyampaikan ucapan alu- aluan.Antara intipati ucapan menarik yang dapat dijadikan renungan bersama ialah'ucapan hendak menang' perlu diseimbangkan dengan gerakerja yang bersistematik dan tersusun.Mendekati pengundi baru adalah amat penting demi kelangsungan jamaah yang kita sayangi ini..

Read more...

MUKTAMAR DEWAN MUSLIMAT PAS NEGERI MELAKA KALI KE 41



Salam ukhuwwah..dan salam perjuangan!.Agak lama saya tidak berkesempatan untuk 'update' blog ini. Sesungguhnya keterbatasan waktu dan kesibukan yang menghimpit diri membataskan segalanya. Namun begitu, saya tidak pernah melupakan azam saya untuk terus berkongsi cerita dan pengalaman kepada semua pengunjung blog dan srikandi perjuangan.

Pada 1 Mei 2010, yang lalu..Saya telah dijemput sebagai Pemerhati Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka kali ke 41. Bertempat di Badan Perhubungan Pas Negeri Melaka,.Muktamar DMP Melaka Kali ke 41 berlangsung dengan cukup teratur dan tersusun rapi.

Bermula dengan Bacaan Ayat Suci Al- Quran dan Lagu Tema PAS,acara seterusnya disusuli pula dengan ucapan aluan daripada Mejar Bersara Jasmi Bin Tumpang,Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Melaka dan ucapan Dr. Hjh Khatijah Bt. Jumangat , Ketua Muslimat Dewan Muslimat Pas Negeri Melaka.Muktamar dirasmikan oleh YB Dr. Lo' Lo' Binti Haji Mohd. Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa merangkap AJK PAS Pusat.Turut hadir juga, beberapa wakil Exco Pemuda PAS Negeri Melaka.

Ucapan kata- kata perangsang, motivasi dan petikan ayat suci Al- Quran yang mengandung ayat- ayat tentang perjuangan cukup membuatkan diri ini dan semua perwakilan 'terkesan'.Alhamdulillah..Moga kita semua di dalam lindungan kasih sayang dan rahmat dari Illahi...

Read more...

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP